BAIKKAH DIA UNTUK AKU
baikkah dia untuk aku
itu persoalan awal cerita
buka kisah lembaran baru
mahu kembangkan layar bahtera
buat menuju alam bahagia
bahagia rasa sebuah keluarga
binaan asas kukuh padu
kala mahu pilih pasangan
pasangan sejati penyeri hidup
pasangan sejati penawar duka
pasangan sejati bahagia rasa
baikkah dia untuk aku
tanyalah pada mata hatimu
selidiklah latar kisah hidupnya
dekatilah dirinya serapat perlu
gunakan akal bijak pandaimu
bukan sekadar turutkan nafsu
bukan sekadar turutkan rasa
bukan sekadar saduran permata
atau pangkat tinggi beraja
baikkah dia untuk aku
jika benar dia untukmu
jika benar dia milikmu
maka terimalah setulus hati
berpaksi ajaran pak tua
berpandu titipan rasul
bersumber quran dan sunnah
terimalah seadanya dirinya itu
mana kurang kamu cukupkan
mana lebih kamu kongsikan
baikkah dia untuk aku
tiada guna lagi persoalkan
jika anakmu sudah berderet
jika ijab kabul sudah dimaterai
apa lagi guna persoalkan
terimalah sepenuh hati kecilmu
bentangkanlah seluas mungkin
itu sudah ketentuan tuhan
itulah jodohmu yang sebenar
tiada perlu lagi merintih
tiada perlu lagi persoalkan
jika mahu berjaya
kukuhkanlah kasih sayang
binalah mahligai cinta sejati
pasakkan seteguhnya kasih suci
mintalah rahmat dari tuhanmu
baikkah dia untuk aku
pasti itu terbaik buatmu
insyaallah…
BAIKKAH DIA UNTUK AKU
Persoalan yang sering ditimbulkan oleh pasangan suami isteri tatkala wujudnya suatu musibah atau pertelingkahan. Masing-masing sibuk menyalahkan antara satu sama lain. Suami salahkan isteri dan isteri pula salahkan suami. Akhirnya keduanya memendam sahaja rasa yang terbuku di dalam hati masing-masing. Pada saat ini mulalah terbit bisikan hati baikkah dia untuk aku.
Sebenarnya ini adalah persoalan yang perlu ditanya dan dijawab sebelum keduanya mendirikan mahligai rumahtangga. Persoalan ini tidak lagi relevan bila keduanya sudah melafazkan janji setia sehidup semati. Mana mungkin dalam kehidupan suami isteri tidak berlaku perbalahan atau pertikaian, namun setiap masalah atau musibah pasti ada jalan penyelesaiaannya.
Segalanya harus ditangani dengan baik bagi menjamin kesejahteraan sebuah keluarga. Sikap toleransi harus disemai dan dipupuk sedari awal. Renung-renungkanlah.
picture credited to google










