KEMPEN BEBASKAN ANWAR 901
kempen bebaskan anwar 901
singgah sekejap di kedai kopi
mahu dapat cerita terkini
cerita hangat bualan ramai
kisah pertembungan dua puak
yang nyata sama sahaja rupa
rambut pun tetap sama hitam
warna kulit tak jauh bezanya
makan nasi tetap pakai tangan
tetap makan petai cicah sambal
namun bila disebut pasal hati
bila disebut pasal parti
bezanya sangat ketara
kempen bebaskan anwar 901
bangun si muda kudrat hebat
bersuara penuh lantang
ayuh sama kita berkumpul
kita berkumpul secara aman
kita cuma bagi sokongan
sokongan padu dari belakang
kita tak ganggu orang ramai
kita cuma berhimpun ramai-ramai
bangun pula si muda kedua
masih juga bersuara lantang
mengapa harus kita berkumpul
itu jadi perhimpunan haram
kita mesti hormat undang-undang
kita harus pelihara keamanan
kita kan hidup bersatu padu
jangan berhimpun ramai-ramai
kempen bebaskan anwar 901
terus kopi diteguk sampai habis
tak kuasa nak layan lagi
pasti takkan habis …
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Polis Kuala Lumpur membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta di luar perkarangan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, di sini pada Isnin depan. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
“Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini hari ini. Azmin bertemu dengan Mohmad pada 10 pagi ini.
PUTRAJAYA – Wakil daripada 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Selangor dan Putrajaya hari ini membuat 45 laporan polis bagi membantah cadangan perhimpunan haram “Kempen Bebaskan Anwar 901″ pada 9 Jan ini. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira 9.30 pagi ini. Kira-kira 200 anggota kesemua NGO itu turut hadir.
Setiausaha Gabungan NGO Malaysia Mohd Jurit Ramli berkata mereka membuat 45 laporan polis bagi menolak keras perhimpunan haram itu yang jelas satu penghinaan terhadap sistem perundangan negara. Katanya mereka menyokong sebarang tindakan daripada pihak polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan pihak yang terlibat di dalam perhimpunan tersebut demi keamanan Malaysia.
sumber : bernama










