ENGKAU MEMANG MELAMPAU
engkau memang melampau
orang dedah engkaupun dedah
semua benda habis kau dedah
orang redah engkaupun redah
semua daerah habis kau redah
memang dasar keras kepala
sebab dah nampak kilauan permata
kerlipan lampu merata-rata
diri disangka masih dipuja
engkau memang melampau
lagak bagai seniman hebat
tak sedar orang semua meluat
dapat semua apa dihajat
gambar terpampang merata tempat
mak ayah halkum tersumbat
anak dipuja sudah tersesat
orang kampung buka cerita
di warung kopi merata-rata
sanak saudara habis terkena
tak tahu mana nak sorok muka
engkau memang melampau
apa masih tiada kau sedar
apa masih tiada kau insaf
nampakkah kamu rumah bertiang dua
tatkala gigimu dah tinggal dua
apakah di kala itu mahu bertaubat
apakah di kala itu mahu tersedar
apakah di kala itu mahu belajar
mahu sebut alif ba ta
engkau memang melampau
cukup cukup sudah
cukup sampai di sini saja
izrail sudah menjenguk
pasti kamu menyesal…
ENGKAU MEMANG MELAMPAU
Kita manusia makhluk ciptaan tuhan yang penuh dengan kehebatan. Kita mampu melakukan segala macam benda kerana kita dianugerahkan akal yang membolehkan kita berfikir. Kita mampu mencari jalan penyelesaian ke atas segala macam permasalahan. Namun setelah kita berjaya terkadang kita seakan terlupa akan siapa pencipta kita yang sebenarnya. Kita merasakan bahawa dunia ini milik kita yang mutlak. Kitalah insan yang sering terlupa.
Setinggi mana kedudukan dan pangkat yang kita ada, pasti tidakkan terlawan kuasa tuhan Yang Maha Kuasa. Seharusnya kita sedar betapa langit yang terbentang di atas kepala itu, betapa bumi yang terbentang luas di bawah telapak kaki kita itu. Tuhan Yang Maha Kuasa pasti melihat segala perbuatan yang kita lakukan. Oleh yang demikian itu, jika tersilap langkah kita maka kembalilah ke jalan yang benar.
Usah dibiarkan kita hanyut ditelan arus dunia nikmat sementara ini. Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk hambanya yang terlalai terleka. Kembalilah dan mohonlah keampunan pada tuhanMu kerna Allah Maha Pengampun sentiasa mengampunkan hambanya yang terlupa. Taubat sepenuh hati pasti takkan rugi. Harga setitis air mata keinsafan itu bisa memadamkan api yang panas membara nanti…
ENGKAU MEMANG MELAMPAU
gambar : sitikus











redlomo April 26, 2012 at 8:44 pm
mcm karangan yang terlampau jer… hehehe
puteraduyong April 26, 2012 at 8:48 pm
hehe… ada iras iras sket kot…