SIASAT BUKU IRSHAD MANJI
siasat buku irshad manji
jika tulisannya bawa onar
bisa calarkan maruah agama
harus diteliti setelusnya
harus dilihat intisarinya
kerna mata pena itu tajam
kadangkala ia terlebih tajamnya
berbanding mata pedang bersinar
kerna mata pena itu menghiris
kadangkala lukanya terlebih dalam
bisa menusuk ke sukma jiwa
bisa putuskan akidah pegangan
bisa retakkan iktikad di hati
bisa koyakkan selaput iman
kerna itulah makanya
siasat buku irshad manji
wajib…
SIASAT BUKU IRSHAD MANJI
KDN Diminta Siasat Buku Irshad Manji
ALOR SETAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya segera menyiasat buku terbaru hasil tulisan seorang aktivis muslimah liberal, Irshad Manji. Katanya hasil pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), buku bertajuk ‘Islam, Liberty and Love’ itu dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam. Beliau berkata setakat ini, pihak berwajib termasuk KDN telah menjalankan siasatan dan membuat pemeriksaan di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor namun kuasa untuk menyekat penjualan buku itu di negara ini terletak di tangan KDN.
“Di Kuala Lumpur, tempat-tempat yang dia (Irshad) pergi tu pihak-pihak bertanggungjawab sama ada di Kuala Lumpur ataupun di Selangor telah pun mengambil tindakan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad. Katanya tindakan memeriksa sama ada buku itu ada dijual atau sebaliknya, perlu dilakukan kerana tidak mendapat kebenaran untuk dijual. “Tindakan untuk pengharaman buku ni di bawah KDN. Kita (Jakim) boleh bagi pandangan kepada KDN dan berdasarkan daripada pengamatan awal kita, buku ini merupakan buku yang berbahaya kepada umat Islam, jadi kita akan panjangkan pandangan kepada KDN untuk buku ni diambil tindakan,” katanya.
Irshad, seorang pendukung lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di peringkat antarabangsa, dikatakan masuk ke negara ini tiga hari lalu untuk melancarkan buku terbarunya itu. Dia telah melancarkan buku terbarunya itu semalam dan pulang ke Kanada malam tadi. Irshad pernah mengarang buku yang menimbulkan kemarahan umat Islam di dunia yang berjudul ‘The Problem With Islam Today’ yang mengandungi idealisme yang sama dengan Salman Rushdie, penulis novel ‘The Satanic Verses”.
SIASAT BUKU IRSHAD MANJI
sumber : mstar










